Wednesday, January 16, 2008

Ceramah Di Ambang Ma’al Hijrah 1429H / 2008M – ‘Menjana Ummah Gemilang’






Alhamdulillah, saya dapat menghadiri beberapa program ilmiah bersempena Sambutan Ma’al Hijrah 1429H / 2008M Peringkat Negeri Perak yang diadakan dari petang 9hb – 11hb Januari 2008 (30 Zulhijjah 1428H – 2 Muharram 1429H) yang lalu. Pergi dengan satu harapan untuk mengutip segala ilmu dari beberapa pandangan ustaz jemputan yang ku kenali untuk muhasabah diri diakhir dan awal tahun bagi menjana seribu harapan dan bekalan buat diri dan keluarga terutamanya.

Di sini akan dititipkan beberapa perkara yang penting hasil dari kutipanku dari 3 hari tersebut untuk dikongsi bersama buat muhasabah diri bersama, insya Allah. Penceramah jemputan adalah sahabat senior aku ketika di Jordan A.F.Us.Hasrizal (Saifulislam).

a) Definisi Menjana Ummah Cemerlang – Perlukan kepada hadaf/tujuan kecemerlangan secara bersepadu. Yakni kecemerlangan di dunia dan juga kecemerlangan di akhirat. Sebagai insan dan individu sudah pastilah kita memerlukan kecemerlangan di dunia dalam segala genap bidang yang diceburi kerana habuannya sudah pasti akan diperolehi dengan pelbagai bentuk ganjaran, pangkat, nama dan sebagainya. Kecemerlangan di dunia tidak akan lebih bernilai jika di akhirat kelak kita dipandang hina oleh Allah SWT. Apa yang kita mahukan adalah kecemerlangan di dunia dan menghasilkan kegemilangan di akhirat kelak, insya Allah.

b) Perlukah Kecemerlangan Di Akhirat?? Perlukah Kegemilangan Di Syurga?? – Persoalan ini menunjukkan berlakukan kepincangan dalaman insan itu sendiri dalam soal keyakinan / keimanan kepada perkara ghaibiyyat (syurga dan neraka) dan juga hari akhirat. Apa yang kita mahukan adalah di sini (dunia), kita memperolehi kemenangan dalam setiap pertembungan, keuntungan dalam setiap aktiviti muamalat dan perniagaan dan kejayaan dalam setiap yang diceburi. Jika ini yang kita mahukan, sudah pasti akan diperolehi tapi jika akal tidak dipandu oleh iman persoalan selepas dari kemenangan, keuntungan dan kejayaan tidak akan timbul dalam benak pemikiran. Jika dipandu iman maka persoalan selepas ini (akhirat) ialah mardhotillah yakni mahukan keredhoan Allah dan mengharapkan balasan syurgaNya.

c) 3 Kompenan Kemajuan –Iaitu: 1) Matlamat, 2) Manusia & 3) Mesin / Prasarana. Manakah antara 3 kompenan ini yang penting??? Sudah pastinya kompenan ‘Manusia’ menjadi pilihan paling penting bagi menjana kemajuan kerana manusia perlu dibangunkan untuk menjayakan matlamat dan manusia juga perlu dihargai dan boleh menghargai mesin. Maka dengan itu timbullah konsep ‘Pembangunan Modal Insan’.

d) 4 Faktor Kecemerlangan Manusia – 1) Ilmu, 2) Kemahiran, 3) Sikap & 4) Maklumat. Menurut kajian yang dinyatakan oleh A.F.Us.Hasrizal faktor ilmu, kemahiran dan maklumat hanya berpengaruh sebanyak 7% sahaja manakala 93% adalah dari faktor sikap manusia itu sendiri dalam menjana kecemerlangan diri. Tapi akhbar tabloid hari ini memaparkan bahawa perubahan sikap seseorang itu menggambarkan tanda2 menuju kepada kematian. Ini boleh diperhatikan dari persoalan yang diajukan oleh wartawan kepada waris mangsa. Perkara ini menjadi sebab kita tidak mahu membuat perubahan sikap pada diri. Ini amat bertentangan dengan kenyataan Saidina Ummar Al-Khattab: “Kita adalah satu kaum yang dimuliakan oleh Islam”. Dengan kedatangan Islam membawa sinar dalam perubahan sikap bangsa Arab itu sendiri yang membawa kepada pembinaan tamadun ummah. Formula ini telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah ar-Ra’d (13) – ayat 11 :

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَالٍ (11)

11. Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah[767]. Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan[768] yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.
[767]. Bagi tiap-tiap manusia ada beberapa malaikat yang tetap menjaganya secara bergiliran dan ada pula beberapa malaikat yang mencatat amalan-amalannya. Dan yang dikehendaki dalam ayat ini ialah malaikat yang menjaga secara bergiliran itu, disebut malaikat Hafazhah.

[768]. Tuhan tidak akan merobah keadaan mereka, selama mereka tidak merobah sebab-sebab kemunduran mereka.

e) 3 Perkara Perlu Diubah Oleh Kita – 1) Hati, 2) Akal & 3) Nafsu. Perkara ini perlu dijadikan agenda perubahan dalam diri kita kerana hati adalah raja bagi kerajaan diri, akal adalah penasihat kepada hati manakala nafsu adalah penjahat dalam diri. Ini dapat dirujuk dalam surah As-Syua’ra’ (26) – ayat 88-89:

يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (88) إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (89)
88. (yaitu) di hari harta dan anak-anak laki-laki tidak berguna, 89. kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.

Menunjukkan kepada kita peranan hatilah yang paling penting dibuat perubahan sebelum akal dan nafsu.

f) 3 Peringkat Melakukan Penghijrahan – Iaitu seperti dibawah:-
1) Akal --- Ilmu --- Tahu
2) Hati --- Iman --- Mahu
3) Nafsu --- Latihan --- Mampu

Akal hendaklah diberikan ilmu agar menghasilkan pengetahuan, hati hendaklah dibangunkan dengan iman kerana akan membuahkan kemahuan kepada penghayatan agama manakala nafsu perlu dilatih untuk memberi kemampuan ketahana menepis segala cabaran dan dugaan. Ketahuailah bahawa manusia bertindak bukan kerana ia berpengetahuan tapi pada tahap kemahuan dirinya yang sudah pasti berakar umbikan kepada iman dan hati yakni simpulan ikatannya dengan Pencipta Rabbul Izzati. Dengan demikian itu, akan memberi output dan produk yang dikehendaki iaitu kecemerlangan diri dan ummah.


g) Destinasi Hijrah –
1) Alam Roh --- alam perjanjian --- Sifat asal roh kita adalah dekat dengan Allah
2) Alam Rahim --- alam kasih sayang --- Tempohnya hanya 9 bulan 10 hari sebelum berhijrah ke tempoh kelahiran
3) Alam Dunia --- alam melakukan amal --- Tempoh maksima 60 – 70 thn sebelum menuju ke berpindah ke tempoh kematian
4) Alam Barzakh --- alam perpisahan roh dan jasad --- Sebelum menuju kepada tempoh kebangkitan semula
5) Alam Mahsyar --- alam perhitungan --- Sebelum menuju ke tempoh pengakhiran iaitu tempoh pembalasan
6) Syurga & Neraka --- inilah destinasi terakhir dan perlulah membuat pilihan yang bijaksana dari akal berpandu iman dan hati.

h) Akhiran –
- “Berubah kerana terpaksa menjadikan diri sebagai mangsa manakala memaksa diri untuk berubah adalah langkah bijak untuk berjaya”.

- Maksud dari pepatah arab: “Jangan ucapkan selamat tinggal tapi ucapkan Ilal Liqa’ / Bertemu Lagi, jika tidak bertemu di dunia, bertemu lagi di akhirat”.


Begitulah sedikit titipan yang amat berguna untuk diri ini menjadikan ia sebagai pemangkin diri membuat satu perubahan rohani. Moga2 hasil ini menjadi renungan sepanjang tahun ini mahupun bahan muhasabah diri untuk mencapai konsistensi diri dalam amal dan hati. Semoga perkongsian maklumat ini mampu memberi pertambahan amal kebajikan buat diri ini, amin.

No comments: