Monday, January 14, 2008
PERCUBAAN UNTUK MENCURI JASAD RASULULLAH SAW
Umumnya, semua umat islam mengetahui bahawa makam Rasulullah SAW kini terletak di dalam Masjid Nabawi ,iaitu di kota Madinah.Pada asalnya Rasulullah SAW telah dimakamkan di dalam bilik di rumahnya.Kepalanya terletak di barat dan kakinya di timur dengan mukanya ke arah kiblat.Tetapi mungkin ramai yang tidak tahu adanya percubaan jahat untuk mencuri mayat Rasulullah SAW itu.Ianya telah berlaku pada sekitar tahun 557 H.Perbuatan khianat ini telah di rancang dengan teliti oleh orang-orang Kristian. Mereka telah merancang untuk memindahkan mayat Rasulullah SAW daripada makamnya di Madinah.Bagi melaksanakan niat mereka itu, mereka telah mengupah dua orang lelaki Kristian yang menyamar sebagai orang Maghribi yang datang dari Andalusia, Sepanyol.Bagi memudahkan lagi pekerjaan mereka, dua orang lelaki ini telah menyewa sebuah rumah yang berdekatan dengan Raudhah iaitu berhampiran dengan makam Rasulullah SAW.Raudhah merupakan satu tempat yang sangat mulia di dalam Masjid Nabawi.Ia juga merupakan tempat Rasulullah SAW dan para sahabat beribadah dan tempat turunnya wahyu kepada Rasulullah SAW.
Kedua –dua lelaki itu telah berpura-pura menjadi orang alim untuk mengaburi mata penduduk Madinah.Mereka sentiasa menunaikan solat di Masjid Nabawi dan selalu memberi sedekah kepada fakir miskin.Semuanya dilakukan untuk mendapat kepercayaan daripada penduduk sekitar bahawa mereka merupakan orang yang baik dan mengelakkan daripada syak wasangka orang ramai terhadap mereka.Mereka juga rajin menziarahi perkuburan Baqi’.Perkuburan Baqi’ merupakan kawasan perkuburan bagi penduduk Madinah dan sesiapa yang meninggal dunia di Madinah,termasuk para jemaah haji atau umrah.
Tetapi di sebalik semua ini, sebenarnya mereka mula melakukan gerak kerja untuk merealisasikan impian mereka untuk mencuri mayat Rasulullah SAW.Bermula dari rumah, mereka mula menggali secara rahsia sebuah terowong yang akan berakhir di dalam makam Rasulullah SAW.Tanah-tanah dari terowong tersebut dipunggah ke dalam telaga di dalam kediaman mereka dan kadang-kadang diisi ke dalam beg untuk di buang di Perkuburan Baqi’.Rancangan jahat mereka ini berjalan lancar tanpa disedari oleh penduduk Madinah.Tetapi mereka lupa bahawa kegiatan mereka itu sentiasa di lihat oleh Allah SWT.
Sehinggalah Allah SWT telah memberikan petanda kepada Sultan Nuruddin Mahmud bin Zinki dari Syria melalui satu mimpi.Di dalam mimpi tersebut Sultan Nuruddin telah terdengar Rasulullah SAW berkata,
“ Wahai Mahmud, selamatkanlah aku daripada mereka,”
ketika berkata demikian, Rasulullah SAW telah menunjukkan kepadanya dua orang lelaki yang berambut perang.Sultan Nuruddin pun bangun dari tidurnya dengan panik,dia berdoa dan kembali tidur.Tetapi mimpi itu berulang sebanyak tiga kali.
Baginda kemudiannya mengarahkan menterinya membuat persediaan untuk berangkat ke Madinah.Sultan Nuruddin dan pengikutnya menyeberangi jarak dari Syria ke Madinah dalam masa 16 hari.Apabila sampai di Madinah, baginda terus menuju ke Masjid Nabawi, mengerjakan solat dan termenung di sana kerana baginda tidak tahu apa yang harus dilakukannya.Melihat keadaan Sultan Nuruddin itu,menterinya bertanya,adakah baginda dapat mengecam dua lelaki di dalam mimpinya itu? Baginda menjawab bahawa baginda amat yakin dapat mengecam kedua-dua lelaki tersebut.Serentak dengan itu, menterinya pun memanggil seluruh penduduk Madinah yang memerlukan bantuan untuk datang mengadap baginda.Walaubagaimanapun,tidak ada kedua orang lelaki tersebut di antara orang ramai yang datang mengunjungi baginda.Setelah di selidik, baginda di beritahu bahawa ada dua orang asing yang tidak datang mengadap baginda.Mendengar berita tersebut, lalu Sultan Nuruddin mengarahkan mereka berdua mengadap baginda.Apabila keduanya dibawa mengadap,baginda segera mengecam bahawa itulah lelaki yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW di dalam mimpinya.
Kedua lelaki itu telah disoal siasat untuk membuktikan segalanya.Mereka menyatakan bahawa mereka berasal daripada Maghribi dan datang untuk menunaikan haji dan melawat Masjid Nabawi dan bercadang untuk tinggal di Madinah selama setahun.Bagi mengesahkan segalanya, Sultan Nuruddin sendiri telah pergi ke rumah lelaki tersebut untuk menyiasat.Tetapi malangnya baginda tidak menjumpai apa-apa pentunjuk melainkan sejumlah wang yang banyak.Baginda tetap tidak berpuas hati dan terus berfikir apa yang perlu dilakukannya lagiDengan kehendak Allah SWT, baginda tersepak satu kepingan kayu.Apabila diangkat kayu itu,maka terbukalah pintu terowong yang menghala ke arah makam Rasulullah SAW.Apabila di siasat,didapati terowong tersebut telah pun melepasi tembok dan dinding Masjid Nabawi.
Kedua-dua lelaki tersebut kemudiannya disebat sehingga mereka mengaku apa yang mereka lakukan dan bercerita hal yang sebenarnya.Mereka sebenarnya adalah orang Kristian dan di hantar oleh Raja mereka untuk menyamar sebagai jemaah haji dari Mahribi.Mereka dibekalkan dengan wang yang banyak dan di arahkan untuk mengambil mayat Rasulullah SAW dari makamnya dan membawanya pulang bersama mereka.Mereka kemudiannya dijatuhi hukuman bunuh di atas perbuatan mereka yang hina itu.
Labels:
Kisah Rasulullah SAW
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment