Friday, January 25, 2008

Kepentingan Susu Dan Kalsium




Susu adalah sejenis makanan yang amat kaya dengan nutrien. Ia adalah sumber vitamin dan mineral yang baik, seperti vitamin A, kumpulan vitamin B (riboflavin, niasin, vitamin B6 dan vitamin B12 ), magnesium, fosforus, zink dan kalsium.
Semua nutrien ini penting untuk satu atau lebih jenis fungsi. Bagaimanapun, kandungan kalsium yang terdapat dalam susu menjadikannya istimewa.Kalsium susu adalah yang paling mudah untuk di serap dan digunakan oleh tubuh badan. Kalsium diperlukan untuk pelbagai proses tubuh yang penting, contohnya aliran saraf,pengawalan denyutan jantung,pengecutan otot dan penyembuhan luka.Selain itu susu juga merupakan penambah kekuatan, kesihatan dan kecerdasan.Rasulullah saw sendiri membiasakan meminum susu agar tubuh baginda menjadi kuat dan tidak mudah diserang penyakit.

Di dalam Al-Quran juga Allah swt telah menceritakan tentang susu haiwan ternakan yang dijadikan banyak kegunaannya kepada manusia.Firman Allah swt yang bermaksud: “...dan sesungguhnya pada haiwan ternakan itu benar-benar terdapat banyak pengajaran bagi kamu. Kami memberi kamu minum daripadanya apa yang berada di dalam perutnya berupa susu yang bersih yang berada di antara tahidan darahnya. Ia mudah di telan ( di minum).” (Surah An-Nahl: 66)

Semua orang memerlukan kalsium dan juga nutrien berkhasiat lain yang boleh didapati daripada segelas susu.Lazimnya ramai yang menganggap susu hanya penting untuk tumbesaran kanak-kanak. Tetapi sebaliknya,susu amat penting untuk membina tulang dan gigi yang kuat bagi kanak-kanak dan juga orang dewasa.Diet kalsium amat penting bagi golongan wanita berbanding lelaki kerana wanita lebih mudah kehilangan kalsium berbanding dengan lelaki.Amalan pengambilan susu yang mencukupi boleh menghindari seseorang itu dijangkiti penyakit osteoporosis iaitu sejenis penyakit tulang rapuh.

Bagi kanak-kanak pula, mereka memerlukan dua kali ganda kalsium berbanding orang dewasa.Kekurangan kalsium pada peringkat umur ini akan menghalang kanak-kanak mencapai ketumpatan tulang yang maksimum.Ini boleh meningkatkan risiko menghidap osteoporosis di kemudian hari.

Antara makanan-makanan yang kaya dengan kalsium adalah:
 Ikan bertulang lembut seperti ikan sardin dan ikan bilis
 Kekacang dan produk kekacang seperti tauhu dan tempe
 Sayur-sayuran hijau seperti bayam dan kailan
 Buah-buahan kering seperti kismis, kurma dan aprikot

Tetapi pengambilan makanan yang kaya dengan kalsium belum mencukupi. Pastikan kalsium yang diambil mudah diserap oleh badan seperti kalsium daripada susu.Selain itu, susu juga amat mudah dihidangkan pada bila-bila masa sahaja. Untuk kesihatan yang berpanjangan, semua orang sepatutnya tidak mengabaikan pengambilan susu sehari-hari.

No comments: