Friday, January 18, 2008

Puasa Dari Sudut Kesihatan

Satu kaedah yang paling sempurna untuk mengimbangi kesihatan tubuh badan manusia dan untuk menghindari dari segala penyakit ialah melalui cara berpuasa, sama ada berpuasa di bulan Ramadhan ataupun puasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis seperti yang dianjurkan.Apabila kita berpuasa, tanpa sedar kita telah membantu tubuh badan kita ke arah kesihatan total, baik kesihatan fizikal mahupun kesihatan mental.Puasa sebenarnya bertindak menghancurkan sisa-sisa racun dan toksik dalam darah manusia.Di samping itu, puasa juga boleh membersihkan segala kekotoran dalam badan dan memberi kesegaran pada otot-otot dan membuat kita sihat, segar dan bertenaga.

Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan ibadah yang telah difardukan oleh Allah swt ke atas sekalian umat Islam.Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:

“wahai orang-orang yang beriman,diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ke atas umat sebelum kamu,mudah-mudahan kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah:183)

Puasa adalah menahan diri dari lapar dan dahaga,tetapi perlu diingat bahawa puasa bukanlah sekadar meninggalkan makan minum semata-mata,tetapi ia juga merangkumi mengawal hawa nafsu yang selalu membelenggu diri kita. Ramai yang tidak tahu, puasa secara teratur boleh mendatangkan kesihatan yang stabil dan dapat memperbaiki sistem daya tahan badan.Lumrahnya kita tidak faham cara berpuasa yang boleh mendatangkan faedah kepada kesihatan.Antara cara-cara berpuasa yang berkesan menurut sains perubatan adalah seperti berikut.

 Berbuka dengan buah-buahan dan minuman daripada bahan semulajadi.Minuman yang perlu dielakkan semasa berbuka seperti kopi dan teh kerana minuman ini mengandungi kafein yang boleh memberi rangsangan kepada saraf dan jantung ketika berpuasa.
 Digalakkan solat maghrib terlebih dahulu kerana memberi peluang kepada perut supaya mencerna makanan.
 Mengambil makanan yang mudah di hadam dan mengandungi serat, kurangkan makanan yang pedas, berempah dan berminyak.Perbanyakkan mengambil sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan berasaskan kekacang.Disamping itu kurangkan pengambilan protein haiwan seperti daging kerana ia makanan yang paling kompleks dan susah dihadam.
 Banyakkan minum air putih kerana ianya baik untuk mencuci usus dan menyenangkan membuang air besar.
 Pastikan karbohidrat di dalam badan mengcukupi,sekiranya tidak badan akan cepat terasa lemah dan tidak bertenaga di siang hari.
 Rasulullah menggalakkan agar kita melewatkan sahur kerana ia menepati waktu bersarapan pagi.Kajian juga menunjukkan bahawa makanan yang utama dalam 24 jam adalah waktu sarapan pagi.Amalan bersahur juga penting untuk ketahanan badan kita.



Manakala terdapat pula amalan-amalan atau beberapa perkara yang menyebabkan puasa tidak mendatangkan kebaikan kepada tubuh badan kita.Sebaliknya ia mendatangkan kesan yang buruk terhadap kesihatan kita.Tetapi inilah antara rata-ratanya menjadi amalan tradisi kita.Disebabkan terlalu lapar, orang ramai biasanya akan makan sepuas-puasnya apabila berbuka.Ini kerana mereka tidak faham kaedah puasa yang boleh mendatangkan kebaikan kepada kesihatan.Antara cara-cara berpuasa yang tidak berkesan kepada kita adalah seperti berikut:

 Makan terlalu banyak sama ada ketika bersahur ataupun berbuka
 Makan makanan yang pedas,masam dan terlalu masin.Makanan masin perlu dielakkan kerana ia boleh menyebabkan air bertakung dalam badan.
 Kurang minum air pada waktu malam atau terlebih minum air semasa makan
 Makan makanan yang mengandungi bahan kimia seperti burger,sosej, mee segera, nugget , air tin.
 Mengulangi makan sepanjang malam.
 Tidur selepas kenyang makan dan tidak bersahur.
 Merokok.


Puasa pada dasarnya puasa adalah amalan yang sangat sukar dikerjakan.Itulah sebabnya Allah swt telah menjadikan amalan puasa itu berbagai-bagai hikmah dan kebaikannya. Hikmah puasa telah banyak diteliti oleh para ulama dan ilmuwan, dari para ahli syariat dan keagamaan islam hingga kepada para ahli psikologi dan kedoktoran.Allah swt memerintahkan kita berpuasa agar kita bertambah ketaqwaan kepadaNya.Dengan sifat taqwa itulah manusia dapat mengawal dirinya.Bahkan Allah swt telah melatakkan darjat orang yang bertaqwa di tempat yang paling mulia.Sebagaimana firman Allah swt.

“Hai manusia,sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah swt ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.Sesungguhnya Allah swt Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”(Surah Al-Hujurat:13)

Jadi puasa bukanlah suatu penyeksaan Allah kepada kita hamba Nya. Sebaliknya orang yang mengerjakan puasa dengan niat dan cara yang betul akan menerima ganjaran yang berlipat kali ganda.Malahan bagi orang yang berpuasa dan kemudian diiringi puasanya dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat , selain diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan mendapat pahala yang besar, malahan dia juga akan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang siddiqin, syuhada dan solehin.

No comments: