Monday, January 14, 2008
Istimewanya Madinah
Nabi Muhammad SAW telah berhijrah ke Madinah dan menjadikannya sebagai medan dakwahnya dan seterusnya sebagai Tanah Suci kedua selepas Tanah Suci Makkah.Di situ jugalah terletaknya jasad kekasih Nya.Madinah kaya dengan sejarah-sejarah yang jelas terkandung di dalam Al-Quran agar dijadikan panduan dan pedoman terutamanya buat kita semua, umat akhir zaman.Ianya menyimpan banyak kelebihan sebagai bumi yang penuh dengan keberkatan.Nabi Muhammad SAW pernah berdoa agar Allah SWT melimpahkan keberkatan ke atas bumi Madinah.Ini kerana ketika Rasululullah SAW memasuki Madinah,ia adalah sebuah negeri tempat bersarangnya penyakit,lalu Baginda berdoa:
“Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah,sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Makkah, atau lebih dari itu dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan bekalnya ,dan gantikan wabah penyakitnya dengan juhfah.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berkat doa Rasulullah SAW yang diperkenankan oleh Allah SWT membuatkan Madinah sentiasa mempesona dan menarik dimata setiap pengunjungnya.Madinah mempunyai keistimewaanya yang tersendiri seperti yang disebut di dalam hadis-hadis Rasulullah SAW.Antara kelebihan dan keistimewaan Madinah ialah:
1.Bumi Yang Subur Dan Makmur.
Madinah terletak di tengah-tengah lembah yang subur.Madinah merupakan kota yang baik untuk penghuninya, dari udaranya,tamarnya dan sebagainya.Bumi Madinah juga mengeluarkan tamar Ajwah yang mempunyai khasiat lebih daripada khasiat yang terdapat pada tamar-tamar lain.Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Barangsiapa di waktu pagi makan 7 biji kurma Ajwah,pada hari itu dia tidak akan terkena racun mahupun sihir.”
2.Masjid Nabawi.
Masjid Nabawi terletak di tengah-tengah kota Madinah.Asalnya ia merupakan tapak pusat pengeringan tamar dan kebun tamar milik dua orang anak yatim iaitu Suhail dan Sahl.Rasulullah SAW telah membeli tanah itu daripada mereka dan membangunkan masjid bersama-sama dengan Kaum Ansar dan Muhajirin.Masjid Nabawi ini mula dibangunkan pada bulan Rabiulawal tahun pertama hijrah (622M).Rasulullah SAW membangunkan masjidnya berdasarkan kepada asas taqwa,seperti sabda Rasulullah SAW:
“Pahala solat di masjidku ini adalah 1000 kali lebih baik daripada solat di lain-lain masjid kecuali di Masjidil Haram,”(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Para penziarah Masjid Nabawi juga hendaklah memelihara adab ketika memasukinya.Antara adab-adabnya ialah masuk dengan kaki kanan, memberi salam kepada Rasulullah SAW dan dua sahabatnya iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar,tidak berasak-asak ketika masuk mahupun keluar dan tidak mengeraskan suara ketika solat ataupun memberi salam,cukuplah sekadar sederhana.Pelbagai pembaharuan telah dijalankan di Masjid Nabawi selepas kewafatan Rasulullah SAW sehinggalah sekarang.Antaranya ialah menara masjid.Ketika zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ Rasyidin,Masjid Nabawi tidak memiliki menara.Orang yang pertama sekali membangunkan menara Masjid Nabawi ialah Umar Ibn Abdul Aziz pada tahun 93 H.Di dalam Masjid Nabawi terdapat satu ruang yang dikenali sebagai Raudhah di mana ia merupakan tempat Rasulullah SAW dan para sahabat selalu beriabadah.Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Antara rumahku dan mimbarku adalah taman (raudhah) dari taman-taman syurga.”
Ada juga ulama-ulama yang mengatakan ia bagaikan taman dari taman-taman syurga dala hal turunnya rahmat dan tercapainya kebahagiaan.
3.Tanah Haram
Seperti Makkah, Madinah juga merupakan tanah haram.Ianya menjadikan setiap umat Islam sentiasa berwaspada dan memelihara diri daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah SWT ketika berada di sana.Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Madinah adalah tanah haram,letakknya antara Bukit Eir dan Bukit Tsur,sesiapa yang melakukan kezaliman (maksiat) atau melindungi orang yang melakukan kezaliman di dalamnya maka ke atasnya laknat Allah SWT,malaikat dan manusia seluruhnya dan semua amalan sama ada yang wajib atau sunat tidak diterima oleh Allah SWT daripadanya pada hari kiamat kelak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
4.Keutamaan Meninggal Di Madinah
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa mampu mati di Madinah, maka lakukanlah,sesungguhnya aku akan bersaksi bagi orang yangmati di dalamnya.”(Riwayat Ibn Majah)
Maksud yang terkandung di dalamnya ialah bagi sesiapa yang boleh tinggal di Madinah hingga mati maka janganlah keluar darinya,demikian juga jika boleh berdoalah moga Allah mengambil nyawa kita di Madinah.Oleh kerana sabda Rasulullah SAW ini jugalah, maka Khalifah Umar r.a pernah berdoa kepada Allah SWT:
“Ya Allah,kurniakanlah aku syahid di jalanMu dan jadikanlah matiku di negeri Rasul Mu.”
5.Terpelihara Daripada Dajjal
Madinah merupakan kota yang diriwayatkan tidak akan di masuki oleh Dajjal.Rasulullah SAW menjanjikan terpeliharanya Madinah daripada serangan Dajjal.Dari Anas ibn Malik r.a ,Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Tidak ada suatu negeri pun kecuali Dajjal akan memasukinya kecuali Makkah dan Madinah ,dikeduanya tidak terdapat satu tempat pun kecuali akan para malaikat berbaris menjaganya.Kemudian Madinah akan menggongcangkan penduduknya sebanyak tiga kali,lalu Allah SWT mengeluarkan setiap orang kafir dan munafik.”(Riwayat Bukhari)
Itulah sedikit sebanyak antara kelebihan atau keistimewaan Madinah yang patut kita semua ketahui.Jadi tidak hairanlah jika sekali bumi Madinah dipijak, akan terasa kerinduan untuk mengunjunginya lagi.Ini kerana suasana di Madinah cukup damai dan penuh dengan ketenangan.Maka umat islam adalah digalakkan untuk mengunjungi Madinah bagi mengenang dan menginsafi perjuangan dan penderitaan generasi terdahulu.Semoga dengan melihat sendiri tempat-tempat bersejarah serta mengenang kembali peristiwa-peristiwa itu akan dapat menambahkan lagi keimanan dan ketaqwaan terhadap Allah SWT.
Labels:
Mengenali Madinah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment